fb fb fb fb fb

RUU Bekalan Elektrik perkukuh tadbir urus tenaga negara

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 September - Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik (Pindaan) 1990 (Akta 447) yang diluluskan Dewan Negara hari ini, memperkukuhkan lagi tadbir urus dalam kawal selia aktiviti penjualan tenaga elektrik secara teratur selaras perundangan negara.

Ke arah itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kementerian wajar memastikan kerangka perundangan berkaitan industri ini kekal dinamik seiring keperluan dan permintaan dari pemain industri

"Akta Bekalan Elektrik 1990 atau Akta 447 merupakan satu akta yang digubal untuk memperuntukkan perundangan pengawal seliaan industri bekalan elektrik pembekalan elektrik pada harga yang munasabah, pelesenan mana-mana pemasangan elektrik, pengawalan mana-mana pemasangan loji dan kelengkapan elektrik berkenaan dengan perkara yang berhubungan dengan keselamatan orang dan penggunaan elektrik dengan cekap dan bagi maksud yang berkaitan.

"Pindaan akta ini akan memperkukuhkan kerangka perundangan sedia ada, antaranya pelaksanaan inisiatif pembekalan atau penyaluran elektrik merentas sempadan, bertujuan memastikan kestabilan, meluaskan pilihan kaedah pembekalan di samping memastikan keselamatan sistem grid nasional serta jaminan pembekalan tenaga elektrik di ketiga-tiga buah negara ini, sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan elektrik", katanya dalam sesi perbahasan RUU Bekalan Elektrik (Pindaan) 1990 (Akta 447) bacaan kali ke dua di Dewan Negara

Pelaksanaan tersebut juga mampu membawa potensi pelaburan melalui aktiviti penjualan tenaga elektrik kepada negara jiran.

RUU berkenaan turut membabitkan 16 fasal pindaan termasuk pelesenan, pengawalan loji dan keselamatan penggunaan elektrik

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan pindaan berkenaan turut menyokong aspirasi negara mencapai 70 peratus kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050 dan memperkukuh inisiatif di bawah projek Grid Tenaga ASEAN.

Bagi memastikan bekalan domestik kekal terjamin, hanya lebihan tenaga akan dieksport, manakala sebarang hasil daripada aktiviti perdagangan akan disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Industri Elektrik dan Dana Tenaga Hijau bagi menyokong usaha peralihan tenaga serta melindungi pengguna.

Menerusi mekanisme Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) yang diperkenal tahun lepas, kerajaan telah menjalankan projek rintis dengan menjual 50 megawatt ke Singapura dengan harga ditentukan pasaran secara bidaan, sekali gus memberi pulangan lebih baik kepada negara

Akmal Nasrullah turut menjelaskan aktiviti eksport dan import tenaga akan dipantau secara masa nyata bagi menjamin keselamatan grid nasional, manakala lesen hanya diberikan mengikut kapasiti rangkaian sedia ada tanpa menjejaskan kestabilan elektrik dalam negara.

ROSLINA BINTI DIN