fb fb fb fb fb

RUU Akta Penagih Dadah 2024, mampu tangani kesesakan penjara

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah

GUA MUSANG, 15 Ogos- Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 mampu menangani isu kesesakan penjara di seluruh negara.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, pendekatan nyahjenayah RUU ini juga mengalihkan fokus daripada hukuman kepada rawatan dan pemulihan.

Malah, RUU itu antara lain akan memberi kuasa kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk memperakukan rawatan dan pemulihan penagih dadah secara sukarela, selain daripada pegawai perubatan.

"Dan sebab itu akta kita gubal memang telah melakukan proses yang  panjang melibatkan proses libat urus semua agensi termasuk Jabatan Penjara dan kita harap keupayaan kita di AADK akan kita pertingkatkan.

"Isu-isu yang bangkit di penjara dapat kita tangani dengan baik. Jadi semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) memang berkolaborasi untuk menyelesaikan semua isu yang ada", katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra bersama Klien dan Keluarga AADK Daerah Gua Musang, Kelantan.

Program itu diadakan bertujuan memberi galakan kepada klien untuk berjaya dalam semua aspek ke arah usaha kekal pulih sepanjang hayat.

Dalam program itu, seramai 100 klien yang sedang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) AADK termasuk keluarga mereka yang tinggal di kawasan sekitar diraikan dalam majlis berkenaan.

ROSLINA BINTI DIN