fb fb fb fb fb

RUU AKSEM (pembubaran) 2021: Tidak timbul isu anggota diabaikan

(Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said)

KUALA LUMPUR, 8 Ogos- Rang Undang-undang Agensi Kawalan Sempadan Malaysia atau AKSEM (Pembubaran) 2021 diluluskan pada sesi perbahasan Dewan Negara hari ini.

Ketika sesi penggulungan, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said sekali lagi menjelaskan isu mengabaikan anggota AKSEM tidak timbul sama sekali.

"Apabila kita bubar AKSEM ini kita serah kepada PDRM melalui PGA maka tidak timbul mana-mana pegawai polis atau anggota di bawah PDRM kita abaikan malah AKSEM ini sebenarnya adalah gabungan beberapa agensi lain PDRM, PGA, imigresen, kastam dan ada bantuan agensi KDN, RELA. Sebab itulah apabila dibubarkan pegawai-pegawai kastam diteruskan berkhidmat Jabatan Kastam diserah kembali kastam dan imigresen kepada imigresen," katanya.

Tambah Ismail, pemansuhan akta dan pembubaran AKSEM tidak akan mendatangkan kesan negatif kepada operasi penguatkuasaan pengawalan sempadan negara pada masa ini.

Ini kerana kesemua fungsi AKSEM telah diserapkan kepada PDRM melalui Pasukan Gerakan Am (PGA).


(FOTO FAIL)

Manakala punca kuasa yang termaktub di dalam Akta 799 akan diteruskan dan dikuat kuasakan oleh akta-akta sedia ada seperti Akta Polis 1967; Akta Imigresen 1959/63; Akta Kastam 1967; dan lain-lain perundangan yang sedang berkuat kuasa.

Fungsi-fungsi jawatankuasa peringkat tertinggi dan jawatankuasa penyelaras yang termaktub di bawah akta ini akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemantapan Kawalan Sempadan Negara dan Jawatankuasa Penyelarasan Kawalan Sempadan Negara.

Terdahulu menerusi sesi perbahasan, Senator Mohd Apandi Mohamad mencadangkan agar teknologi moden terutama satelit digunakan bagi memantau aktiviti penyeludupan di sempadan.

Ini memandangkan keberadaan anggota keselamatan di sempadan masih tidak mampu menghentikan kerancakan aktiviti penyeludupan.


(Senator Mohd Apandi Mohamad)

"Dengan pemansuhan ini kerajaan mesti melalui MOSTI atau KDN supaya memberikan pasukan polis lebih canggih mesti guna satelit demi keselamatan dan telekomunikasi satelit yang boleh menjalankan fungsi keselamatan dan komunikasi. Kos tidak begitu tinggi dan dengan satelit ini operasinya 24 jam tanpa henti. Kalau ada dua makanya ada 'backup' jadi boleh distesenkan di mana-mana ibu pejabat polis, Bukit Aman dan sebagainya dan kita boleh tengok terus menerus.Tiada kaedah lain yang terbaik. Kita gunakan drone ada jangka masanya, tidak boleh 24 jam," katanya.

Justeru beliau mahu penggunaan satelit diberi perhatian yang serius oleh kerajaan.

Media Baharu