fb fb fb fb fb

Rundingan semula perjanjian air Malaysia-Singapura, peluang perkukuh hubungan diplomatik

Rundingan semula perjanjian bekalan air antara Malaysia dan Singapura menjadi peluang penting untuk kedua-dua negara memperbaharui persetujuan lama, dengan mengambil kira keadaan semasa / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Januari – Rundingan semula perjanjian bekalan air antara Malaysia dan Singapura menjadi peluang penting untuk kedua-dua negara memperbaharui persetujuan lama, dengan mengambil kira keadaan semasa.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Seremban, Dr. Mazlan Che Soh berpendapat langkah itu mampu membawa manfaat ekonomi yang signifikan kepada Malaysia, selain memperkukuh hubungan diplomatik dengan Singapura.

“Jika perkara ini dirundingkan dengan baik, ia akan memberi implikasi positif kepada kedua-dua negara. Perjanjian air 1962, yang akan tamat pada 2061, menetapkan kadar tiga sen bagi setiap seribu gelen. Kadar ini kini didapati amat rendah, dan Malaysia menuntut agar ia dikaji semula,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin menyifatkan rundingan ini sebagai perkembangan positif dalam menyelesaikan isu lama antara kedua-dua negara.

“Ini mencerminkan kepimpinan Madani yang membawa perubahan dan menjadi tanda aras baharu dalam menyelesaikan isu-isu penting negara,” katanya.

Menurut beliau, rundingan ini bukan sekadar untuk menyelesaikan perkara tertangguh, tetapi juga ujian keupayaan kedua-dua negara untuk mengutamakan masa depan demi kesejahteraan bersama.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN