KUALA LUMPUR, 30 Januari- Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang disambung semula, beri peluang baharu kepada sektor minyak sawit negara.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berharap, perjanjian itu dapat meningkatkan keyakinan global dan mengurangkan sekatan terhadap minyak sawit negara.
Jelasnya, Malaysia telah mengambil pelbagai langkah yang perlu untuk meningkatkan kemampanan dan piawaian industri sawit.
Ini terutamanya skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang menjamin pengeluaran minyak sawit mampan.
"Ini akan membuktikan pada dunia bahawa minyak sawit yang kita hasilkan adalah mampan, selamat kepada alam sekitar, tidak memberi kesan termasuk juga menjaga kebajikan buruh, pekerja dan juga alam sekitar dan juga kesemua undang-undang yang ada di samping itu juga menghadkan penyahutanan.
"Jadi ini semua dapat membuktikan kepada dunia bahawa minyak sawit yang kita hasilkannya adalah mampan dan sepatutnya diterima oleh pasaran di dunia ini tanpa sebarang rasa curiga", katanya kepada RTM.
Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju mempercepat rundingan itu susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brussels, minggu lalu.
Ini sebagai usaha untuk mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia bersama salah satu blok perdagangan terbesar dunia.
Rundingan MEUFTA yang bermula pada 2010, tertangguh pada 2012 berikutan keraguan negara terhadap dasar pemerolehan minyak sawit, subsidi dan klausa kemampanan EU.