Jumaat, 25 April 2025 7:56 am
fb fb fb fb fb

Rundingan isu tarif dengan AS diharap dapat diteruskan

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan

PONTIAN, 13 April - Rundingan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan Amerika Syarikat, berhubung isu tarif, diharapkan dapat diteruskan.

Ia susulan kesilapan daripada AS, yang mendakwa Malaysia mengenakan tarif 47 peratus terhadap produk import dari negara itu.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Malaysia hanya mengenakan cukai 5.6 peratus terhadap produk import dari negara Uncle Sam itu.

Untuk itu, beliau berpendapat cukai timbal balas 24 peratus oleh AS tidak patut dikenakan keatas Malaysia.

"Jauh beza tu ya, 47 peratus dengan 5.6 peratus, akibat daripada rumusan 47 peratus maka cukai timbal balas yang dikenakan ialah 24 peratus, bererti apabila data yang diberi adalah silap, maka kiraan juga silap, apabila kiraan silap, keputusan juga silap, jadi saya kira dalam masa 90 hari, tinggal 80 hari ini rundingan terus perlu dibuat," kata Ahmad Maslan.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Interaksi Aidilfitri Bersama Pegawai Agensi Kerajaan, Pemimpin Masyarakat Dan Media Di sini.

Sementara itu Ahmad Maslan yang juga Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat berkata calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir dilihat calon terbaik untuk membawa perubahan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak.

DUN Ayer Kuning juga akan kekal menjadi kawasan Kerajaan Negeri bawah Kerajaan Persekutuan, sekiranya kepercayaan pengundi diberikan kepada Dr Mohamad Yusir.

Dr Mohamad Yusir dipilih mewakili BN selepas disaring bersama enam individu lain oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Kalau rakyat di situ membuat pilihan iaitu memilih beliau, maka DUN Ayer Kuning menjadi kawasan Kerajaan Negeri dan DUN Ayer Kuning menjadi kawasan Kerajaan Pusat," katanya.

Dalam majlis sama, pihaknya memberi sumbangan kepada 50 pelajar Madrasah Tahfiz Pendita Madani, serta 50 anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Pontian.

TETITIA YUSOFF