fb fb fb fb fb

Rumah terbuka, platform erat perpaduan pelbagai kaum di Bintulu

Majlis Ramah Tamah Ria Aidilfitri 2024 anjuran bersama Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Wanita Kidurong, JKKK Sungai Plan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Plan, Jawatankuasa Masjid Al Mutaqqin Sungai Plan Lot dan Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) N70 Samalaju

BINTULU, 28 April- Penganjuran majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri merupakan satu platform mengeratkan lagi perpaduan dan silaturrahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum khususnya di bandar Bintulu.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing berkata, menerusi penganjuran majlis seperti ini hubungan perpaduan kaum-kaum yang meraikan perayaan ini dapat diperkukuhkan lagi dengan wujudnya budaya kunjung-mengunjung ke majlis-majlis yang dianjurkan.

Pegawai Khasnya, Steven Kong Kai Seng membaca teks ucapan beliau, berharap penganjuran majlis seperti itu akan diteruskan dan dikekalkan agar penyatuan dan ikatan kemasyarakatan dapat dimartabatkan.

"Sudah pastinya majlis ini akan menjadi wadah untuk kita berkumpul dan merapatkan hubungan silaturahim yang sudah lama terjalin sambil menikmati juadah yang disediakan.

"Selain itu juga, dapat mengukuhkan semangat kekeluargaan dan perpaduan sesama kita dalam melaksanakan tugas masing- masing,” ujarnya ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Ria Aidilfitri 2024 anjuran bersama Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Wanita Kidurong, JKKK Sungai Plan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Plan, Jawatankuasa Masjid Al Mutaqqin Sungai Plan Lot dan Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) N70 Samalaju, malam tadi.

Lebih 300 penduduk di sekitar kawasan Sungai Plan menghadiri majlis ramah tamah tersebut yang diadakan di dewan serbaguna Kampung Sungai Plan Lot.

Turut diadakan pada majlis tersebut persembahan nyanyian lagu Hari Raya, pertandingan Ratu Cantik Kanak- Kanak, gerai tercantik, cabutan bertuah dan sebagainya.

Turur hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Wanita Kidurong, Dora Abdul Rahman, Ketua Cawangan PBB N70 Samalaju, Sikong Lusek dan Ketua Kaum Kampung Sungai Plan Lot, Bujang Wahab.

ROSLINA BINTI DIN