Rumah musnah 80 peratus dalam kebakaran di Simpang Pertang

FOTO JBPM Negeri Sembilan

SEREMBAN, 27 Mac – Sebuah rumah separuh kekal di Kampung Kerangai, Simpang Pertang, musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran yang berlaku tengah hari tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM Negeri Sembilan menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.19 dan menggerakkan pasukan bomba.
  • Jentera bomba tiba kira-kira sembilan minit kemudian dengan bantuan anggota dari BBP Jelebu.
  • Api berjaya dikawal pada pukul 12.35, operasi pemadaman dan pemeriksaan diteruskan untuk pastikan tiada risiko.
  • Tiada mangsa dilaporkan; 14 anggota dan dua jentera terlibat; motosikal terbakar sepenuhnya; punca masih disiasat.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.19 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pertang digerakkan ke lokasi.

Jentera bomba tiba kira-kira sembilan minit kemudian dengan bantuan anggota dari BBP Jelebu.

Komander Operasi, PBK II (KUP) Hairullah Mohd Zain berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan kira-kira 100 x 80 kaki.

“Kebakaran menyebabkan rumah berkenaan musnah dianggarkan 80 peratus, selain sebuah motosikal turut terbakar sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, api berjaya dikawal pada pukul 12.35 tengah hari, namun operasi pemadaman dan pemeriksaan masih diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang berisiko.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Seramai 14 anggota bersama dua jentera bomba terlibat dalam operasi berkenaan.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.