KUCHING, 27 April- Rumah kebajikan yang terlibat dalam insiden penghuni warga emas dipukul di Taman Desa Aman, Padang Serai, Khamis lepas bakal ditutup selesai siasatan dari pihak polis.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia merupakan tindakan susulan daripada pihak kementerian.
Jelasnya, apalagi menerusi hasil siasatan awal, rumah kebajikan tersebut didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM.
"Bila disiasat memang tidak berdaftar, insha-Allah akan ditutup selepas laporan polis selesai, kita sudah muktamadkan.
"Saya ingin ingatkan kepada mereka yang diberi amanah dan tanggungjawab menjalankan tugas menjaga warga emas supaya menjalankan tugas dengan baik. Kita perlu ingat satu hari nanti kita juga akan berada di situasi itu (akan tua) dan kita memerlukan orang melindungi kita," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Pejabat Daerah Kuching hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Nancy memaklumkan, kementerian sentiasa memantau rumah kebajikan warga emas yang berdaftar dengan melakukan lawatan mengejut dari semasa ke semasa.
Khamis lepas Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Azizul Mohd Khairi mengesahkan polis telah menahan pemilik dan pembantu rumah kebajikan tersebut bagi membantu siasatan berhubung video kejadian seorang penghuni warga emas dipukul yang kemudiannya tular di media sosial.
Turut ditahan bagi membantu siasatan ialah seorang perempuan tempatan berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembantu di situ.