POKOK SENA, 13 Mac- Lembaga Pelawat Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena di Pokok Sena, Kedah menyeru mana-mana pihak yang sudi menghulurkan sumbangan kepada penghuni rumah berkenaan.
Pengerusi Lembaga Pelawat rumah berkenaan, Syaiful Izad Ahmad Sofi berkata sumbangan tersebut amat diperlukan bagi membeli kelengkapan dan pakaian penghuni untuk menyambut hari raya Aidilfitri selain membeli keperluan harian mereka.
Beliau berkata, ketika ini, rumah Kanak-Kanak Pokok Sena mempunyai 59 penghuni berusia antara 7 tahun hingga 18 tahun.
Katanya, kebanyakan penghuni rumah berkenaan daripada keluarga miskin dan kurang berkemampuan serta menjadi mangsa penderaan, pengabaian dan eksploitasi.
Syaiful Izad berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Pengerusi Lembaga Pelawat dan Ahli Lembaga Pelawat bersama warga Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena di Pokok Sena, Kedah.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik Lembaga Pelawat Rumah Kanak-Kanak Pokok Sena bernombor 02075010059209 atau menghubungi Syaiful Izad ditalian 0195474232.