fb fb fb fb fb

Rujuk sumber berautoriti, elak buat 'content' sentuh isu sensitif, permain hukum agama

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan

KOTA BHARU, 26 Mei- Masyarakat dinasihatkan supaya mengelakkan daripada menghasilkan bahan di media sosial yang menyentuh sensitiviti khususnya berkait unsur agama.
  
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara itu bagi memastikan kandungan berkenaan tidak mempermainkan hukum dan agama Islam selain mengelakkan daripada menimbulkan salah faham masyarakat.
 
Katanya, masyarakat termasuk pencipta kandungan perlu merujuk kepada sumber dan pihak berautoriti khususnya sebelum melakukan sesuatu atau mengeluarkan sebarang pendapat dan maklumat.
 
“Jadi nasihat saya kepada semua, marilah sama-sama kita menjaga sensitiviti menjaga keharmonian dan memastikan apa yang kita lakukan itu adalah berdasarkan nas yang sahih berdasarkan amalan yang dibenarkan oleh Islam.

"Sekiranya ada kekaburan perlu melakukan penyelidikan kajian ataupun bertanya kepada mereka yang berautoriti,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media di program Bicara Eksklusif Bersama Penjawat Awam di Dewan Misai Kucing, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu, Kelantan.
 
Program berkenaan dihadiri hampir 200 penjawat awam daripada pelbagai agensi persekutuan yang membincangkan keperluan mempunyai pemikiran masa depan selari dengan hasrat Malaysia MADANI.
 
Dr Zulkifli diminta mengulas video tular berdurasi 37 saat yang memaparkan tindakan dua wanita melangkah kubur di sebuah tanah perkuburan yang mengundang kemarahan masyarakat dan menyifatkan ia melampaui batas serta tidak menghormati agama.

Jelas Dr Zulkifli, pihaknya akan merujuk kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai perkara tersebut dan akan memanggil individu jika perlu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE