fb fb fb fb fb

Ruang khas merokok di kedai makan perlu kebenaran PBT - Lukanisman Awang

Gambar hiasan BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Mac - Mana-mana pihak yang ingin mewujudkan tempat merokok di luar kawasan kedai makan perlu mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlebih dahulu, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Lukanisman berkata permohonan itu selari dengan pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 20 Januari 2020.

"Sekiranya mana-mana pihak ingin mengadakan tempat merokok di tempat yang tidak diwartakan, ia mesti dibina menurut syarat yang ditetapkan dan mestilah mendapat kebenaran PBT.

"Tujuan utama syarat ini dikenakan adalah bagi memastikan hanya kemudahan asas seperti tempat abu rokok sahaja disediakan bagi mengelakkan perokok berada lama di tempat tersebut," katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Idris yang meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan rasionalisasi di sebalik pertimbangan terhadap perwujudan ruang khas merokok di luar kawasan kedai makan mengikut Seksyen 16(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852].

Tambah beliau, KKM terlibat dalam pelaksanaan oleh PBT untuk memastikan semua input teknikal seperti yang digariskan dalam pekeliling itu dipatuhi semua pihak.

Sementara itu, KKM telah memberi kuasa kepada 189 pegawai penguat kuasa seperti polis bantuan, PBT, dan agensi lain di bawah Seksyen 3 Akta Makanan 1983 atau Akta 281 bagi memastikan pematuhan orang ramai terhadap larangan merokok di tempat yang tidak dibenarkan.

GRACE AISYAH KEDAYAN