fb fb fb fb fb

RTM terus jadi platform lahirkan bakat kreatif negara

Datuk Suhaimi Sulaiman (kiri) bersama hos Uji Morni dalam program Audio Siar Kemuncak Bintang Kecil RTM

KUCHING, 20 September - Radio Televisyen Malaysia (RTM) komited untuk terus menjadi platform melahirkan pemain industri kreatif negara menerusi bimbingan dan perkongsian pengalaman.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, ke arah itu beliau sendiri akan memainkan peranan aktif sebagai mentor kepada warga RTM, disokong pengalaman luas yang dimilikinya dalam bidang penyiaran untuk meningkatkan potensi organisasi.

"Tiada makna ada pengalaman bertahun-tahun kalau tidak digunakan untuk membantu bakat baharu di RTM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Audio Siar Kemuncak Bintang Kecil RTM bersama hos Uji Morni di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua penyampai radio yang disifatkan sebagai antara kerjaya paling mencabar.

"Kita perlu memberi gambaran kepada pendengar, dan itu bukan sesuatu yang mudah. Sebab itu saya memberi penghormatan tinggi kepada DJ yang bertugas," katanya lagi.

Audio siar berkenaan akan disiarkan menerusi Facebook Sarawak FM minggu hadapan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI