KUALA LUMPUR, 17 Mac- Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan sektor swasta bagi memperluaskan lagi penganjuran program sempena bulan Ramadan pada tahun-tahun akan datang.
Menurut Pengarah Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusof, program Kongsi Rezeki Jelajah Ramadan tahun ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan serta berjaya mencapai objektif yang disasarkan.
“Harapan kita adalah untuk terus bersama masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan, menerusi program turun padang seperti ini.
"Ia bukan sahaja membolehkan kita mendekati mereka, malah membantu mengesan individu yang benar-benar memerlukan bantuan.
"Menerusi program ini, kita dapat menyantuni mereka bersama Skuad Jelajah Ramadan serta rakan strategik yang lain,” katanya.
Program Jelajah Ramadan edisi ke-13 ini telah tiba di lokasi ke-12 di Angkasapuri, hari ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, yang menyampaikan sumbangan kepada golongan ibu tunggal dan asnaf sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat yang memerlukan.