fb fb fb fb fb

RTM perlu butiran lengkap syarikat pengedar asing, pastikan keupayaan bekal program

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 11 Oktober –Radio Televisyen Malaysia (RTM) sama sekali tidak berniat untuk membebankan syarikat tempatan, berhubung permintaan pihak RTM kepada pembekal untuk menyediakan butiran lengkap tentang syarikat pengedar asing yang membekalkan rancangan televisyen dari luar negara.

RTM menerusi kenyataan media menjelaskan tujuan pihak RTM mendapatkan butiran syarikat pembekal asing adalah bagi memastikan syarikat yang berurusan dengan RTM adalah syarikat yang benar-benar berkeupayaan dan diberi hak untuk membekalkan program ‘syndicated’.     

“Ini memandangkan sebelum ini terdapat kes pembekal menarik diri pada saat akhir disebabkan tidak dapat membekalkan program dipersetujui kerana menggunakan perkhidmatan orang tengah yang mendakwa telah mendapat hak membekalkan program ‘syndicated’ daripada pembekal utama (Prinsipal Utama),” menurut kenyataan itu.

RTM mengeluarkan kenyataan itu bagi menjawab dakwaan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang menyatakan proses perolehan rundingan harga Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak relevan.

Persatuan itu mempersoal tindakan RTM meminta butiran lengkap tentang syarikat pengedar asing yang membekalkan rancangan televisyen dari luar negara.

RTM juga dikatakan ‘menekan’ syarikat tempatan untuk menurunkan harga program ‘syndicated’.

Jelas kenyataan itu, langkah itu juga diambil sebagai inisiatif semakan dan verifikasi dengan prinsipal utama bagi memastikan pembekalan program berjalan lancar.

Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Harga (JKRH) telah dilaksanakan mengikut ketetapan Harga Indikatif bagi setiap kategori program ‘syndicated’, berdasarkan kajian pasaran.

“Pelaksanaan ini bagi memastikan RTM melaksanakan perolehan program TV dengan pengamalan best practices & good governance dalam mendapatkan program yang menarik dan segar daripada pembekal,” menurut kenyataan sama.


(Foto hiasan)

Media Baharu