RTM perkukuh kerjasama dengan RTHK , fokus penerbitan kandungan bersama

Ashwad dan Angelina selepas menandatangani MoU di Menara Angkasapuri hari ini/ RTM

KUALA LUMPUR , 5 Mac – Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkukuh kerjasama strategik bersama Radio Televisyen Hong Kong (RTHK) dengan memfokuskan kepada penerbitan kandungan bersama.

RINGKASAN BERITA AI
  • RTM mengukuhkan kerjasama strategik dengan RTHK fokus pada penerbitan kandungan bersama.
  • Perkongsian meliputi program bersama dan pertukaran bakat profesional antara kedua penyiar.
  • Inisiatif ini bertujuan memperkenal budaya, masyarakat dan membina hubungan rakyat ke rakyat.
  • Matlamat jangka panjang capai penonton Malaysia, rantau Asia dan selatan China berdekatan Hong Kong.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata kerjasama turut melibatkan perkongsian program serta pertukaran bakat profesional antara kedua-dua penyiar awam itu.

Ia juga menjadi platform untuk RTM dan RTHK mengenali budaya,masyarakat dan potensi masing-masing.

” Dengan co-production ataupun penerbitan secara bersama ini, sedikit sebanyak kita dapat mengenali, bukan sahaja Hong Kong dan Malaysia, tetapi juga hubungan antara rakyat dan rakyat, dan juga antara penyiar awam ataupun penyiaran negara antara Hong Kong dan Malaysia.

“Untuk membina, melihat kepada; dalam era kecerdasan buatan ini, ia lebih menjurus kepada bagaimana kita mengukuhkan lagi hubungan sesama insan. Seperti mana pepatah kitalah, “Tak kenal maka tak cinta.”

” Jadi,lebih banyak kita mendekati pihak di luar negara untuk kita faham antara satu sama lain. Zaman berubah, apa kita sebut sebagai “hyper-connected world”, kesalinghubungan tinggi,” katanya.

Beliau terdahulu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama RTHK yang diwakili Pengarah Penyiarannya, Angelina Kwan Yuen Yee di Menara Angkasapuri, hari ini.

Angelina menyifatkan MoU berkenaan sebagai permulaan kepada kerjasama yang lebih luas antara kedua-dua organisasi.

“Kami ingin menjalankan penerbitan bersama dengan RTM serta berkongsi program dan satu lagi bidang penting yang akan kami beri tumpuan ialah pertukaran bakat dan profesional.

“Ia adalah satu bentuk kolaboratif yang membolehkan kami menghimpunkan yang terbaik dari Hong Kong dan Malaysia dalam satu program.

“Melalui program tersebut,kami berharap dapat mencapai penonton di Malaysia, rantau Asia dan pada masa hadapan di bahagian selatan China yang berdekatan Hong Kong,” katanya.