fb fb fb fb fb

RTM penyiar rasmi Piala Asia Qatar 2023

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon ketika menjalani sesi latihan di Universiti Qatar di Doha / FB FAM

PUTRAJAYA, 3 Januari - Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan perlawanan Piala Asia Qatar 2023, bermula 12 Januari ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata siaran itu tidak hanya terhad kepada perlawanan yang melibatkan pasukan Harimau Malaya tetapi juga pasukan negara lain.

"Saya telah mendapatkan pengesahan daripada pihak-pihak berwajib dan Insya-Allah akan disiarkan dan kita boleh tonton di RTM bermula 12 Januari, jangan risau pihak kerajaan akan pastikan kita akan tonton perlawanan yang melibatkan bukan hanya Harimau Malaya tapi juga pasukan-pasukan lain dalam Piala Asia Qatar ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet Kerajaan Perpaduan, di sini.

Harimau Malaya bakal berdepan cabaran besar di Piala Asia 2023 apabila diundi bersama juara dua kali, Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam Kumpulan E.

Skuad negara akan membuka kempen Piala Asia 2023 berdepan Jordan pada awal pagi (waktu Malaysia) 16 Januari ini, sebelum menentang Bahrain pada 20 Januari dan Korea Selatan pada 25 Januari.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN