
KUALA LUMPUR, 12 Februari -Komitmen berterusan serta keberanian melakukan lonjakan baharu penting memastikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kekal unggul dan mampu menembusi pasaran yang lebih luas.
- RTM harus terus melompat ke hadapan untuk kekal relevan dan menembusi pasaran lebih luas.
- Manfaatkan kekuatan dalaman dan ekosistem kondusif untuk menonjolkan bakat serta hasilkan karya berkualiti.
- Terokai pasaran serantau ASEAN dan guna kecerdasan buatan serta ilmu baharu untuk lonjakan pertumbuhan.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, RTM perlu mengorak langkah lebih jauh bagi memastikan agensi penyiaran awam itu terus relevan dan berdaya saing.
Menurut beliau, RTM memiliki pelbagai kelebihan dan kekuatan tersendiri yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencipta impak lebih besar kepada industri dan audiens.
“Kita di RTM ini ada banyak kehebatan ada banyak kehebatan jadi sekarang bagaimana kita mahu menggunakan kehebatan itu sepenuhnya supaya ada satu lonjakannya lebih besar.
“Kita harus juga menerokai pasaran-pasaran baru seperti di pasaran ASEAN di mana bahasa kita sama digunakan di Singapura, Indonesia, Brunei, Selatan Thailand dan Selatan Filipina,” katanya kepada pemberita pada Majlis Persaraan ‘Always Remembered’ di Angkasapuri, di sini.
Menurut Datuk Suhaimi, RTM telah mewujudkan ekosistem kerja yang kondusif bagi membolehkan setiap warga kerjanya menonjolkan bakat serta menghasilkan karya berkualiti.
Beliau yakin dengan kekuatan dan keupayaan sedia ada dalam organisasi berkenaan, sekali gus menyifatkan prestasi tersebut sebagai satu kelebihan kepada mana-mana individu yang bakal menggalas jawatan itu pada masa hadapan.
“Saya rasa sedang berlaku di RTM sekarang dan dengan kecerdasan buatan (AI) dan dengan segala ilmu baru saya rasa RTM memang sudah kukuh.
“Saya rasa tidak ada cara lain untuk kita pergi adalah ke depan dan buat satu lonjakan yang paling hebat dan semuanya telah pun ada di RTM,” katanya.