KUALA LUMPUR, 23 Januari - Jabatan Penyiaran Malaysia komited menyasarkan peningkatan kualiti kandungan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi pelbagai pembaharuan program pada tahun ini dan tahun seterusnya, termasuk mengetengahkan program yang berpotensi menarik minat khalayak.
Ketua Pengarah, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata menerusi townhall 'Raise The Bar', RTM mampu menjadi badan penyiar dunia dengan kewujudannya yang telah bertahan selama 77 tahun berada di persada penyiaran, selain bersaing dengan media penstriman lain.
Menurut beliau, RTM mempunyai simpanan kandungan asli dan berkualiti lebih tujuh dekad, yang boleh disiar semula.
"Kita namakan 'Raise The Bar' untuk meningkatkan kualiti kita, mana yang kita perlu sasar tahun ini untuk mencapai suku pertama. Jadi ini sangat penting dan kita menggunakan platform ini untuk mendapat maklum balas daripada rakan-rakan di RTM. Ini sangat penting untuk terus mara ke hadapan.
"RTM mesti menggunakan bahan-bahan di perpustakaan RTM sendiri, kita tunjukkan semula supaya orang boleh dekat dengan jenama kita dan itu adalah kandungan-kandungan yang bagus sebenarnya, kita harus ketengahkan, dan jangan simpan dalam perpustakaan (arkib) kita," katanya kepada pemberita selepas sesi 'town hall' bersama lebih 300 kakitangan dan pegawai jabatan dari seluruh negara.
Terdahulu sesi pembentangan program 2024 dibentangkan oleh Pengarah Program Radio Saifuzzaman Yusof; Pengarah Media Digital Interaktif, Ivan Toh; Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa Md Shahri Saripan, dan Timbalan Pengarah Program TV Nasrul Hakim Md Noh.
Dalam pada itu juga, RTM turut memperkenalkan sembilan wajah baharu penyampai Berita RTM.