KUALA LUMPUR, 22 Ogos- Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal mengorak langkah dengan memanfaatkan teknologi rangkaian 5G dalam operasi penyiarannya.
Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Digital Nasional Berhad (DNB) menerusi perkhidmatan percubaan pembuktian konsep atau Proof of Concept (PoC) pada Hari Kebangsaan yang akan berlangsung pada 31 Ogos ini.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi Penyiaran) RTM, Ts. Ahmad Afandi Abu Hasim, kerjasama itu dijangka menjana pembangunan, inovasi serta meningkatkan keupayaan operasi siaran RTM.
"Dengan 5G ini, kita mempunyai jalur lebar yang lebih besar. Jadi ia boleh membawa video yang lebih berkualiti dan juga ia mempunyai latency yang lebih rendah. Ini perlu dalam penyiaran. Itu yang kita uji dan sekiranya ia mencapai matlamat, maka mungkin kita boleh gunakan untuk kita buat remote production", katanya.
Tambahnya, aplikasi teknologi rangkaian 5G akan turut menyumbang kepada kecekapan dan peningkatan kualiti penerbitan rancangan.
Aplikasi teknologi rangkaian termaju tersebut turut memacu Malaysia ke hadapan sebagai negara digital terkemuka serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital tempatan.
Beliau ditemui pemberita selepas Mesyuarat Kerjasama Strategik RTM-DNB-Ericsson di Angkasapuri Kota Media.