
KUALA LUMPUR, 24 Januari – Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 bakal menjadi reformasi pendidikan negara yang memberi impak positif terhadap dunia pendidikan bagi tempoh jangka panjang.
- Peralihan umur masuk Tahun Satu ke enam tahun dijangka meningkatkan perkembangan pembelajaran jangka panjang.
- Ujian diagnostik dicadangkan bersifat sukarela dan bukan syarat bagi kemasukan pada usia enam tahun.
- Keputusan memberi pilihan ibu bapa; hak memilih sama ada menghantar anak pada usia enam atau tujuh tahun dikekalkan.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata lebih 140 negara telah melaksanakan pendidikan seawal usia enam tahun dan ia terbukti memberi kesan positif kepada perkembangan pembelajaran murid.
“Kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan usia lima, enam dan tujuh tahun sebenarnya mempunyai tahap keupayaan belajar hampir sama.
“Rasional kita nak berganjak dari tujuh ke enam tahun disebabkan pelbagai faktor terutamanya perkembangan dunia masa kini menyebabkan kanak-kanak hari ini berada dalam ruang pendedahan kepada maklumat dan pelbagai perkara lain yang semakin baik.
“Sehubungan itu, tidak perlu untuk menunggu kanak-kanak mencapai usia tujuh tahun untuk mereka mula belajar kerana lima dan enam tahun sudah boleh belajar seperti kanak-kanak usia tujuh tahun.
“Sudah pasti, kanak-kanak ada pelbagai perkembangan pembelajaran. Ada laju, ada juga lambat. Itu perkara biasa,” katanya kepada RTM.
Menyentuh mengenai ujian diagnostik bagi menentukan kelayakan memasuki tahun satu, Dr. Anuar menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan pendekatan secara sukarela.
Jelas beliau lagi, semua kanak-kanak yang telah mencapai had usia enam tahun sewajarnya dibenarkan memasuki tahun satu tanpa sebarang ujian mahupun saringan.
“Kalau nak buat secara sukarela, disambut baik. Kita tidak mengatakan wajib hantar enam tahun sebab kita belum bersedia daripada segi fizikal seperti kekurangan jumlah guru.
“Nak hantar anak ke tahun satu pada usia tujuh tahun, itu hak ibu bapa. Nak hantar anak tahun satu usia enam tahun, itu pun hak ibu bapa,” ujar beliau lagi.
Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kanak-kanak berusia enam tahun boleh didaftarkan sebagai murid tahun satu pada sesi persekolahan 2027 menerusi Majlis Pelancaran RPN 2026-2035 di Putrajaya.
Susulan pengumuman itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan kemasukan murid tahun satu pada usia enam tahun bagi sesi persekolahan 2027 perlu melalui ujian diagnostik khas yang akan dimaklumkan kelak pelaksanaannya.