Rosmah cedera, rayuan gugur Hakim Mahkamah Tinggi ditangguh

Peguam, Datuk Jagjit Singh – Foto RTM

PUTRAJAYA, 25 FebruariRayuan akhir Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dalam kes rasuah projek solar dihadapinya ditangguhkan ke minggu depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rayuan Rosmah untuk gugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan ditangguhkan ke minggu depan.
  • Mahkamah Persekutuan tetapkan pendengaran pada 3 Mac kerana Rosmah sedang cuti sakit.
  • Peguam Datuk Jagjit Singh maklumkan Rosmah cedera tangan dan lutut selepas terjatuh di rumah.
  • Hakim Azimah bertegas jika tidak mampu hadir, Rosmah patut dirawat di hospital bukan berada di rumah.

Mahkamah Persekutuan menetapkan pendengaran kes pada 3 Mac kerana wanita itu sedang cuti sakit selepas terjatuh di rumah.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Nordin Hassan, bersama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Hakim Datuk Azimah Omar, selepas peguamnya, Datuk Jagjit Singh, memaklumkan Rosmah mendapat cuti sakit dari 24 hingga 28 Februari.

“Anak guam saya turut mengalami kecederaan pada tangan dan lutut ketika cuba menahan diri daripada terjatuh,” katanya.

Menjawab pertanyaan Hakim Azimah sama ada Rosmah dimasukkan ke hospital, Jagjit berkata, beliau dinasihatkan berbuat demikian, namun menolak.

Hakim Azimah kemudiannya menegaskan, jika tidak mampu hadir ke mahkamah, sepatutnya beliau berada di hospital, bukan di rumah.