fb fb fb fb fb

Remaja mengaku rompak pelancong diperintah ke Henry Gurney

Pesalah berusia 19 tahun di pekarangan Mahkamah Seksyen George Town hari ini

GEORGE TOWN, 6 November- Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun diperintah ke Sekolah Henry Gurney di Melaka oleh Mahkamah Seksyen sini selepas didapati bersalah merompak seorang pelancong wanita dari Kanada di Pulau Pinang, bulan lalu.

Hakim Mazdi Abdul Hamid memerintahkan remaja itu menjalani hukuman tersebut selama tiga tahun atau sehingga berusia 21 tahun selepas dia membuat pengakuan bersalah.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mengambil telefon bimbit, beg galas, cermin mata, anak kunci dan sekeping kad British Columbia Services milik mangsa kira-kira pukul 5.20 petang pada 28 Oktober lalu di tepi sebuah kedai makan di Lebuh Campbell di sini.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong, manakala pesalah tidak diwakili peguam.

Sementara di Mahkamah Sesyen berasingan, dia mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan iaitu merompak pelancong wanita warga Filipina di Batu Feringghi pada 3 Oktober dan wanita tempatan di belakang premis di Lebuh Campbell pada 28 Oktober.

Kedua-dua kes berkenaan akan disebut semula pada 4 Disember depan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA