fb fb fb fb fb

Rompak berkumpulan, tiga lelaki mengaku tidak bersalah

Mahkamah benar ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin

TELUK INTAN, 7 Disember- Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan, membabitkan kerugian hampir RM60,000 pada November lepas.

Kesemua tertuduh Weng Wing Heng 33 tahun, T.Kerubahkaran dan P.Thanabalan masing-masing 27 tahun, membuat pengakuan itu selepas pendakwaan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan ketiga-tiga tertuduh didapati melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta milik K.Thembraju, 74, dengan menggunakan senjata jenis parang.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Teratai, Taman Indah Jaya, Teluk Intan, antara pukul 3.00 petang sehingga 5.20 petang pada 22 November lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azalea Shermeen Zaizan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 9 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI