fb fb fb fb fb

Rombakan kabinet tidak semestinya perlu ubah dasar kementerian- Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Apresiasi Karnival Usahawan Desa (KUD) 2O23 di sini malam tadi.

BANGI, 13 Disember- Rombakan kabinet tidak semestinya memerlukan perubahan dasar sesebuah kementerian .

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya, dasar dan acuan yang terbukti berkesan, harus dikekalkan.

“Menteri datang dan pergi, timbalan menteri pun datang dan pergi. Namun yang lebih penting bagi kita ialah biar pun kepimpinan itu bertukar ganti, kerajaan bertukar ganti, tetapi dasar (yang baik) harus dikekalkan.

“Jangan oleh kerana mahu wujudkan legasi kononnya, maka dasar diubah, yang baik pun diubah,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Karnival Usahawan Desa (KUD) 2O23 di sini malam tadi.

Mengenai KUD, Ahmad Zahid berkata kejayaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menarik kehadiran lebih satu juta pengunjung pada karnival di Putrajaya pada 22 hingga 26 November lepas, merupakan sesuatu yang harus dibanggakan dan dijadikan contoh.

Beliau menyasarkan pengunjung program KUD meningkat kepada dua juta orang bagi edisi 2025.

Pada majlis yang turut dihadiri, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sijil penghargaan dan anugerah kepada agensi di bawah KKDW yang terlibat menjayakan KUD 2023.

Sementara itu, menerusi laman facebooknya, Ahmad Zahid mengutus ucapan tahniah kepada barisan kepimpinan negara dalam kabinet yang telah diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyifatkan perlantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman, kompetensi dan komitmen untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan membangunkan negara, di samping samping memenuhi aspirasi gagasan Malaysia Madani.

Beliau menyeru kepimpinan negara untuk memperkukuh langkah dengan penuh semangat, tekad dan iltizam bagi membawa pembaharuan dan mengilhamkan harapan buat rakyat secara keseluruhannya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI