KLANG, 9 Mac- Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyerahkan sumbangan Aidilfitri Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) kepada 660 anak yatim daerah Klang.
Baginda berkenan menyampaikan sumbangan secara bersemuka berjumlah RM99,000 itu sempena majlis serahan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim di Masjid Kampung Sementa, Klang.
Sumbangan itu adalah sebahagian daripada peruntukan keseluruhan berjumlah RM345,300 yang diperuntukkan untuk 2,302 anak yatim daerah Klang, tahun ini.
Bagi anak yatim yang tidak dapat hadir secara bersemuka, sumbangan telah dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing bagi memastikan mereka tetap menerima peruntukan.
Pada majlis itu, Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan sijil Lantikan Ketua Sahabat Prihatin Yide (K-SPY) daerah Klang dan Kuala Langat.
Tengku Amir Shah juga berkenan menyempurnakan infaq melalui kupon Infaq Yatim YIDE di kanter amil selepas menunaikan solat zuhur berjemaah.