KUALA LUMPUR, 31 Julai - Inisiatif kelima Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menyaksikan usaha diperhebat bagi meningkatkan penglibatan dan peranan negara di persada ekonomi dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara inisiatif terbesar kerajaan bagi memperkukuh integrasi ekonomi serantau dan pelaburan rentas sempadan.
"Berbekalkan momentum kepengerusian ASEAN tahun ini pula, Malaysia memimpin pelbagai inisiatif pengintegrasian ekonomi serantau termasuk ASEAN Power Grid (APG) bagi meningkatkan keterjaminan bekalan elektrik antara Malaysia, Vietnam dan Singapura.
"Inisiatif juga melibatkan ASEAN Connectivity by Rail yang menghubungkan rantau ASEAN dengan dunia melalui jaringan keretapi dan Asia Zero Emission Community (AZEC) sebagai komitmen ASEAN terhadap usaha menangani perubahan iklim dunia," katanya ketika membentangkan RMK13, di Parlimen.
Pada masa sama, projek menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sabah dan Sarawak akan diteruskan.
Selain itu, pelaburan strategik oleh syarikat penerbangan tempatan turut ditingkatkan menerusi perolehan 178 pesawat baharu dan penambahan perkhidmatan penerbangan.