KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Kementerian Pendidikan (KPM) fokus tambah baik pengambilan guru baharu, latihan persediaan dan peningkatan kompetensi dan profesionalisme guru sebagai agenda utama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut meliputi keseluruhan sistem pendidikan dari peringkat prasekolah hingga menengah.
Ini sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh kualiti pendidikan secara menyeluruh.
“Guru adalah tonggak utama dalam melaksanakan agenda transformasi pendidikan negara. Maka, RMK13 memberi penekanan khusus kepada peningkatan profesionalisme guru agar sistem pendidikan lebih mampan, inklusif dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadhlina turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan RMK13 semalam yang mengangkat agenda pendidikan sebagai teras pembangunan negara menerusi kerangka Malaysia MADANI.
Perluasan prasekolah dan reformasi pendidikan menyeluruh
Menurut KPM, sebanyak RM67 bilion diperuntukkan untuk sektor pendidikan, termasuk pembinaan sekolah baharu serta penambahbaikan infrastruktur sedia ada di seluruh negara.
Antara inisiatif penting yang digariskan termasuk pembinaan sekolah sebagai syarat bagi projek perumahan berskala besar dan peluasan pembinaan sekolah vertikal bagi mengatasi isu sekolah padat di kawasan berpenduduk tinggi.
“Usaha ini selari dengan matlamat kerajaan untuk memastikan kadar enrolmen murid mencapai tahap sejagat di peringkat prasekolah dan menengah,” kata Fadhlina.
Katanya, selepas Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 yang mewajibkan pendidikan menengah diluluskan, tumpuan kini beralih kepada pemerkasaan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun.
“Lebih banyak prasekolah bawah KPM akan diwujudkan bagi menyediakan akses pendidikan awal yang holistik dan menyeluruh kepada semua kanak-kanak,” ujarnya.
Tekanan terhadap penguasaan bahasa, STEM dan TVET
RMK13 turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, selain memantapkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta literasi digital termasuk kecerdasan buatan (AI).
“RMK13 adalah manifestasi iltizam Kerajaan MADANI dalam membawa pendekatan baharu dan radikal untuk mereformasi pendidikan demi manfaat anak-anak Malaysia,” tegas Fadhlina.