RMK13 gariskan 18 strategi rapatkan jurang pembangunan antara wilayah

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Januari – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menggariskan 18 strategi utama bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, negeri dan daerah, termasuk melonjakkan industri bernilai tinggi serta sektor strategik berimpak tinggi ke arah pertumbuhan negara yang lebih seimbang dan saksama.

RINGKASAN BERITA AI
  • RMK13 menggariskan 18 strategi untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, negeri dan daerah.
  • Fokus kepada melonjakkan industri bernilai tinggi dan sektor strategik berimpak tinggi demi pertumbuhan seimbang.
  • Pembangunan ekonomi desa diperkasa melalui ekonomi biru, jingga, hijau dan digital berdasarkan potensi setempat.
  • Diperkukuh sokongan TVET, pendidikan, usahawan muda dan penskalaan PMKS untuk memperluas peluang pekerjaan dan inklusiviti.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, strategi berkenaan merangkumi usaha mereformasi industri semikonduktor, memacu pelancongan berpendapatan tinggi secara lestari, memperkasa sub-sektor agro-makanan dan agro-komoditi sebagai pemangkin ekonomi desa, serta memperkukuh industri perkhidmatan kewangan bagi meluaskan akses pembiayaan di seluruh negara.

“Usaha menangani ketidaksamarataan antara wilayah, negeri dan daerah merupakan agenda utama kerajaan dalam memacu pembangunan yang lebih inklusif dan mampan. Kerajaan menangani cabaran ini melalui kerangka Ekonomi MADANI yang menjadi asas kepada penstrukturan semula ekonomi negara menerusi RMK13, dengan fokus kepada pertumbuhan berkualiti yang seimbang dan saksama antara wilayah. Bagi merapatkan jurang pembangunan, RMK13 menekankan 18 strategi untuk melonjakkan industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi serta sektor strategik berimpak tinggi,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Mohd Shahar berkata, kerajaan turut merangka pembangunan ekonomi desa menerusi penerokaan sumber pertumbuhan baharu berdasarkan potensi setempat, termasuk ekonomi biru, jingga dan hijau, selain ekonomi digital.

Bagi menangani ketidakseimbangan peluang pekerjaan pula, beliau memaklumkan tumpuan diberikan kepada pelaburan dalam bidang pendidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), di samping sokongan kepada usahawan muda bagi memperluas peluang pekerjaan.

Jelasnya, pemerkasaan ekonomi daerah dan wilayah turut diperkukuh melalui penskalaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta pembangunan ekonomi sosial dalam RMK13, dengan sasaran yang jelas menjelang 2030.