KUALA LUMPUR, 18 Februari- Usaha menaik taraf saiz Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) antara tumpuan utama kerajaan dalam membangunkan sektor PMKS sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tumpuan diberi memandangkan setiap perusahaan bersaiz sederhana mampu menghasilkan nilai ditambah RM8.5 juta.
Ini berbanding hanya RM0.9 juta bagi perusahaan kecil dan RM0.2 juta bagi perusahaan mikro.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan berkata, empat inisiatif utama Strategi Penskalaan PKS dalam tempoh RMK-13 dibentangkan SME Corp Malaysia.
Jelasnya, antara inisiatif digariskan ialah untuk mengenal pasti sekurang-kurangnya 500 firma untuk menyertai program bersasar serta memperkukuh program dan dasar pembangunan PKS sedia ada bagi menyokong inisiatif penskalaan.