TANJUNG KARANG, 15 Februari- Kerajaan memperuntukkan RM75 juta bagi pembinaan rumah Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya di sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya sentiasa komited membantu pekerja-pekerja ladang untuk memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.
"Di semua kawasan perlu dijaga termasuk bandar, kampung, estet dan sebagainya. Semua ini perlu dijaga. Pemodal boleh mendapat keuntungan dan pada masa sama menjaga semua ini.
"Kita boleh buat rumah paling besar untuk orang paling kaya tetapi kita juga kena jaga mereka yang kesusahan dengan cara rundingan yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di sini.
Dalam pada itu Perdana Menteri menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyegerakan projek tersebut bagi mengelakkan kelewatan dalam urusan kelulusan projek baharu yang akan memberi kesan kepada rakyat.
"Saya bagi contoh di Kuala Lumpur, saya bagi masa 40 hari, saya mahu setiap projek yang dijalankan perlu mengikut jadual yang telah ditetapkan. Saya tidak mahu penangguhan projek kerana dikhuatiri akan melibatkan kos tambahan, dan ini akan membebankan rakyat.
"Di Pulau Pinang projek perumahan paling besar dalam sejarah untuk masyarakat berpendapatan rendah hingga menengah seperti yang disebut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berjaya dilaksanakan dengan baik," katanya.
Pembinaan PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya membuktikan jalinan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat swasta dalam usaha menyediakan kediaman selesa dan mampu milik khususnya kepada golongan rakyat yang berpendapatan rendah.
Tapak tanah berkeluasan 20 ekar itu diberikan secara percuma oleh syarikaf Berjaya Corporation manakala PRIMA dilantik sebagai agensi pelaksana.
Projek berkenaan mempunyai 245 unit rumah teres satu tingkat dan berkeluasan 750 kaki per segi dibangunkan selama 24 bulan.
Kos seunit PRR Harmoni Madani Bestari Jaya dianggarkan RM300,000 dan akan dijual pada harga RM45,000.
Perkara itu selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat.