KUALA LUMPUR , 9 Oktober - Lima program utama pembangunan industri koko bernilai RM7 juta sedang dilaksanakan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM) Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tempoh 2022 hingga 2025.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata ia turut melibatkan pembangunan di kawasan Asajaya-Sebuaya-Simunjan melalui Program Rangsangan Pengeluaran Hasil Koko.
''Program Pembangunan Bahan Tanaman Fine or Flavour Cocoa dan Koko Organik, Program Pemodenan Pertanian melibatkan 311.4 hektar yang dimiliki 329 petani turut diadakan.
"Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan penanaman koko mematuhi standard antarabangsa seperti European Union Deforestation Regulations (EUDR) dengan melaksanakan pengurusan data geolokasi bertujuan meningkatkan ketelusan dan kebolehkesanan eksport menerusi Sistem Jejak Koko bagi menembusi pasaran di Eropah'', katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini.
Tambah beliau, melalui pelan pembangunan berterusan itu, kerajaan turut berusaha meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan memperluas kawasan tanaman koko dengan memperkenalkan klon Fine Flavour yang bernilai tinggi.
Selain itu, pekebun kecil turut menerima pelbagai insentif bagi meningkatkan harga jualan biji koko kering daripada harga biasa kepada harga premium.
Sementara itu, di bawah skop tanaman baharu Program Rangsangan Pengeluaran Hasil Koko, sebanyak 20 hektar kawasan tanaman baharu telah dibangunkan di Song, Kapit, melibatkan empat peserta.
Program berkenaan telah dilaksanakan pada 2023 dan diserahkan sepenuhnya kepada petani untuk penyelenggaraan mulai September 2025.