fb fb fb fb fb

RM600,000 disalur kepada lima sekolah, baiki kemudahan asas

PUCHONG, 14 Jun- Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan sebanyak RM600,000 bagi menaik taraf kemudahan asas lima sekolah yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara.

Timbalan Menterinya Lim Hui Ying berkata, kerja baik pulih itu merangkumi pembaikan padang sekolah, tandas, bumbung dan siling, pagar, kantin serta laluan pejalan kaki.

Sebanyak RM200,000 diagih kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 4 Bandar Kinrara.

Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puchong Jaya (A), Sekolah Kebangsaan Puchong, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kinrara dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kheng Chee masing-masing menerima RM100,000.


(Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying)

"Kebanyakan sekolah memerlukan peruntukan penyelenggaraan kerana banyak sekolah memang sudah banyak tahun beroperasi. Jadi saya amat berharap dengan jumlah peruntukan yang telah beri dapat digunakan oleh setiap sekolah dengan baik", katanya dalam sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 4. Bandar Kinrara.

Lawatan tersebut turut dihadiri Exco kerajaan tempatan yang juga wakil rakyat Kinrara, Ng Sze Han.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Timbalan Menteri Pendidikan YB Lim Hui Ying kerana beliau bukan sahaja membawa peruntukan sebanyak RM 600,000 untuk sekolah-sekolah di DUN Kinrara tetapi juga membawa dua berita baik, iaitu sekolah baru SK Seksyen 5 Bandar Kinrara bakal dibina di Seksyen 5 Bandar Kinrara dan satu lagi berita baik adalah SK Puncak Jalil juga dalam rancangan dan akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13", kata Ng Sze Han.

Dalam belanjawan tahun ini, kerajaan persekutuan memperuntuk RM900 juta untuk menyelenggara kemudahan asas sekolah.

Media Baharu