fb fb fb fb fb

RM550 juta untuk persiapan TMM2026

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan menyediakan hampir RM550 juta bagi mempersiapkan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Peruntukan itu bertujuan mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan yang melibatkan pelbagai aspek, termasuk persediaan acara, penganjuran aktiviti budaya, serta peningkatan capaian penerbangan ke dalam negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM110 juta juga diperuntukkan bagi melengkapkan kawasan pelancongan, menjalin kerjasama ekopelancongan dan menyokong pencalonan UNESCO.

"Seperti menambah baik kemudahan di Taman Negara Endau Rompin, Johor; Pulau Redang, Terengganu; dan Pantai Tusan Bekenu, Sarawak serta menjalin kerjasama ekopelancongan dengan UNDP dan Habitat Foundation," kata Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI, di Parlimen.

Turut diberi perhatian, usaha pencalonan Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi beberapa tapak bersejarah, seperti Tapak Lombong Bijih Timah Sungai Lembing dan budaya perarakan Chingay serta tarian singa.

Dalam usaha mengekalkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya dan kreatif,Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) akan menyalurkan RM600 juta bagi memulihara dan menaikkan nilai Bangunan Sultan Abdul Samad serta Carcosa Seri Negara.

"Sebuah jambatan bertingkat juga akan dibina, menghubungkan Taman Botani Perdana dengan Carcosa Seri Negara," katanya.

TETITIA YUSOFF