fb fb fb fb fb

RM500 juta wang zakat diagih kepada 27,000 asnaf

Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

PUTRAJAYA, 6 Julai- Sebanyak RM500 juta wang zakat telah diagihkan kepada 27,000 asnaf oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sejak Januari hingga Julai tahun ini.

Ia meliputi pelbagai kategori seperti bantuan untuk Prasarana Umat Islam, Institusi Pendidikan dan Kebajikan serta Program Pembangunan Asnaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, matlamat utama MAIWP bukan sekadar memberi bantuan tetapi membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan dengan mengikuti program-program yang menjurus kepada pembangunan diri dan pendidikan.

"Matlamat utama MAIWP ialah kita mahu memastikan supaya ada dalam kalangan asnaf ini keluar daripada kemiskinan. Sekiranya mereka ini mempunyai kemampuan sebagai usahawan, kita akan berikan mereka latihan dan pendidikan.

"Jadi ini merupakan falsafah untuk mengeluarkan mereka ini daripada kemiskinan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan dan menziarahi asnaf di sini.

Menurut Mohd Na'im selain mengharapkan usaha Skuad Jejak Asnaf MAIWP orang ramai juga bertanggungjawab memaklumkan kepada MAIWP sekiranya menemui asnaf yang memerlukan bantuan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI