JOHOR BAHRU, 30 Disember- Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memperuntukkan RM5.6 juta bagi menaik taraf pusat tahanan haiwan liar, di sekitar daerah itu yang dijangka siap pada September 2025.
Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, usaha itu bagi menjamin persekitaran bandar raya selesa, selain mampu menyekat penularan wabak berjangkit seperti rabies dan parvo.
"Kita tahu bahawa apabila anjing liar ini ditangkap ia perlu mengikuti proses selanjutnya. Haiwan berkenaan tidak akan dialayan dengan buruk.
"Peruntukan ini tidak hanya kepada anjing malah termasuk haiwan lain. Kita tahu pusat tahanan haiwan liar sedia ada memang kecil dan tidak boleh menampung bilangan anjing yang banyak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini.
Setakat November lalu sebanyak 2,692 anjing liar berjaya ditangkap dan kira-kira 616 aduan diterima berhubung anjing liar dalam tempoh sama.
Manakala 219 ekor haiwan berkenaan berjaya divaksin dan dikembiri, menerusi Program Kembiri Anjing Liar Siri 1 pada 29 dan 30 Oktober lalu.