(Foto fail)
KULAI, 9 Julai- Nilai kerugian bagi kes penipuan dalam talian menerusi Facebook dan Instagram di Malaysia berjumlah RM302 juta sejak tahun 2021 sehingga bulan lepas.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, penipuan di Facebook merekodkan nilai sebanyak RM232 juta, manakala RM70 juta bagi pengguna Instagram.
Bagi tahun ini sahaja, setakat Januari hingga Jun, RM60 juta kerugian bagi Facebook dan RM25 juta kerugian bagi Instagram.
Sehubungan itu, pihaknya telah mengadakan penemuan dengan syarikat Meta iaitu pemilik kedua-dua laman sosial berkenaan.
Mesej juga sudah dihantar kepada Meta dan syarikat itu berjanji untuk menambah baik perkhidmatan bagi memastikan isu penipuan tidak berlarutan.
Sementara itu, sebanyak 133 kes berkait komen di media sosial yang terkandung unsur 3R - Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi DiRaja) direkodkan tahun ini dengan 95 daripadanya sedang disiasat polis.
Teo berkata, pihaknya bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa memantau komen yang menyentuh isu sensitif terutama ketika Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRU DUN Ke-15).
"Untuk Januari hingga Mei, kes komen-komen di Facebook melibatkan Institusi DiRaja dibuka PDRM adalah sebanyak 14 kes, hantaran menyentuh isu perkauman sebanyak sembilan kes dan 15 kes adalah hantaran berunsur agama serta ada 95 kes bersifat lain-lain sedang disiasat atau dibuka oleh PDRM," katanya selepas sesi penyerahan sumbangan kepada sebuah pusat kecergasan dan latihan pertahanan diri di sini.
Teo turut menasihat parti yang akan bertanding untuk tidak menyentuh isu sensitif terutama melibatkan 3R atau mengapi-apikan emosi masyarakat.
(Teo Nie Ching (tengah) menyerahkan replika cek sumbangan bernilai RM6,000 kepada
sebuah pusat kecergasan dan latihan pertahanan diri di Kulai, Johor)