fb fb fb fb fb

RM3.64 juta peruntukan bagi projek pembangunan di Labuan

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

LABUAN, 23 Mac- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntuk RM3.64 juta untuk pelbagai projek pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan perumahan, khusus kepada rakyat di Labuan pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta diperuntuk bagi 20 projek jalan perhubungan desa (JPD) manakala RM500,000 untuk 10 projek bawah program ameniti sosial.

"Dan ini azam saya sebagai orang yang sayangkan Labuan insya-Allah kita memperbanyakkan jalan-jalan ini di Labuan begitu juga program ameniti sosial dan program perumahan rakyat seperti yang kita lihat tadi kita akan tambah," katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di sini.

Selain itu bagi pembangunan komuniti kira-kira RM116,900 peruntukan diberikan melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). Ia bagi meningkatkan pendidikan kemahiran.

Pihak kementerian juga memperuntukkan sebanyak RM123,500 meliputi Program Sijil Kemahiran Malaysia-Penilaian Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT).
 
Sementara itu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula memperuntukkan RM1.37 juta untuk pembiayaan perniagaan dan RM65,000 bagi Labuan.

Dalam majlis sama Ahmad Zahid turut menyerahkan sumbangan dari Yayasan pelajaran MARA untuk program 'Back To School' kepada pelajar sekolah rendah dan menengah berjumlah RM7,000 dan pendidikan tertiari bagi Program Matrikulasi berjumlah RM12,000.
 
Turut disampaikan bantuan peralatan program 'Quick Win' seni tangan KEMAS berjumlah RM30,000.
 
Manakala, RM300,000 bagi Program Peningkatan Pendapatan yang merangkumi bidang perikanan, penyediaan makanan dan perkhidmatan jahitan pakaian oleh GIATMARA Labuan.

Ahmad Zahid turut menyumbangkan wang tunai berjumlah RM80,000 kepada 400 pelajar tahfiz dan asnaf.
 
Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi MARA Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Penasihat GIATMARA Labuan Datuk Mohd Rafi Alli Hassan dan Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman.

Majlis Iftar Santunan kasih Ramadan di Masjid Al-Sultan Abdullah Kampung Sungai Bedaun Labuan turut dihadiri lebih 1,000 pengunjung.


 

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI