RM2.431 juta untuk Program Khidmat Bantu di Rumah di Kedah, khidmat sokongan kepada warga emas dan OKU

RM2.431 juta untuk Program Khidmat Bantu di Rumah di Kedah, khidmat sokongan kepada warga emas dan OKU.

ALOR SETAR, 12 Februari – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.431 juta bagi tujuan pengurusan dan pengoperasian Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) di Kedah, tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM2.431 juta untuk pengurusan dan operasi Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) di Kedah tahun ini.
  • 244 sukarelawan memberi perkhidmatan kepada 976 klien warga emas dan OKU, satu sukarelawan menjaga empat klien.
  • Sukarelawan menerima RM400 sebulan, klien menerima RM100 sebulan, dan khidmat mengurangkan kemasukan ke institusi kebajikan.

Jumlah itu meningkat berbanding RM2.247 juta tahun lalu melibatkan seramai 225 sukarelawan KBDR dan 900 orang klien KBDR terdiri daripada 684 klien Warga Emas dan 216 klien Orang Kurang Upaya, OKU di rumah.

KBDR merupakan satu program yang memberi khidmat sokongan kepada warga emas dan OKU terutama bagi mereka yang tinggal bersendirian atau bersama ahli keluarga di rumah yang kurang penjagaan dan kurang berkemampuan.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Zakaria Taib berkata, tahun ini, seramai 244 sukarelawan KBDR dibawah kendalian Majlis Pertubuhan Kebajikan Sukarelawan Malaysia (MPKSM) memberi perkhidmatan kepada 976 klien.

Seorang sukarelawan KBDR akan menjaga empat orang klien dengan kekerapan lawatan sebanyak 4 kali sebulan yang terdiri daripada klien warga emas dan OKU.

Setiap sukarelawan KBDR akan menerima saguhati sukarelawan sebanyak RM400 sebulan.

Manakala klien akan menerima saguhati klien sebanyak RM100 sebulan.

Ia sebagai tanda sokongan dan penghargaan dalam melaksanakan perkhidmatan tersebut.

Program KBDR bertujuan menyemarakkan perkembangan kesukarelawan yang lebih tersusun dan berkesan dalam masyarakat.

Antara khidmat bantuan yang boleh diberikan oleh Sukarelawan Kebajikan termasuk menyediakan makanan dan minuman; pembersihan diri; menjadi rakan berbual; menjalankan aktiviti riadah; mengemas atau membersihkan tempat tinggal, persekitaran.

Selain itu, khidmat membasuh, menyidai dan melipat pakaian; mengeluarkan wang dari bank; membuat pembayaran bil; memberikan perkhidmatan fisioterapi berkelayakan; dan bantuan-bantuan lain yang perlu.

Menerusi pelaksanaan program ini, ianya dapat mengurangkan kemasukan warga emas dan OKU ke institusi-institusi kebajikan kerajaan, swasta dan NGO sekaligus menyokong usaha JKM dalam menjayakan program “Deinstitutionalisation”.