fb fb fb fb fb

RM180 bilion peruntukan untuk projek sektor pembinaan

Datuk Seri Ahmad Maslan

PETALING JAYA, 9 Mei- Kira-kira RM180 bilion peruntukan dalam sektor pembinaan untuk projek kerajaan dan swasta tahun ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Peruntukan yang diluluskan untuk perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan dalam Bajet 2024 berjumlah RM90 bilion manakala selebihnya daripada sektor swasta.

"Pada pertengahan tahun ini, banyak tender dan surat penerimaan akan diberikan, yang akan merancakkan lagi sektor pembinaan.

"Saya tidak dapat menganggarkan nilai tender yang akan dikeluarkan oleh pihak swasta. Bagaimanapun, saya menganggarkan 40 peratus daripada RM90 bilion yang diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan kerajaan akan diberikan pada pertengahan tahun ini," katanya dalam Majlis Makan Tengah Hari MIDF di sini.

Menurutnya, projek yang akan ditender termasuk projek sekolah, hospital, klinik dan jalan raya.

Ahmad berkata sektor pembinaan telah lama menjadi tunjang pertumbuhan ekonomi Malaysia, yang mempunyai kesan pengganda yang besar dan dan memberi impak merentasi pelbagai sektor berkaitan.

Pada masa sama sektor pembinaan negara terus menunjukkan trend positif.

"Sektor pembinaan mengekalkan momentum positifnya untuk tujuh suku berturut-turut, mencatatkan pertumbuhan 6.8 peratus tahun ke tahun dalam nilai kerja yang dilakukan pada suku ke-4 2023 kepada RM34.1 bilion," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI