fb fb fb fb fb

RM1.3 bilion perkasa kontraktor G1-G4 khususnya bumiputera

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.3 bilion kepada kontraktor G1-G4 khususnya bumiputera untuk memberi peluang kepada mereka melaksanakan projek kecil dan sederhana seperti pembinaan jalan raya serta pembaikan dan penyelenggaraan prasarana awam.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejumlah RM200 juta disediakan untuk Skim CAKNA 2 bagi menyokong aliran tunai kontraktor G1-G4 menyiapkan projek berskala kecil kerajaan bernilai sehingga RM1.5 juta.

Perkara itu bagi menyokong dan memperkasakan usahawan Bumiputera, pemusatan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Ekuinas di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera akan dilaksana sepanjang kitaran perniagaan mereka.

"Umpamanya, Ekuinas akan melabur dalam syarikat pertengahan dan setelah itu, syarikat yang berjaya disenaraikan serta mendapat pelaburan sewajarnya daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB).

"Tahun hadapan, RM800 juta pembiayaan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) tersedia untuk lebih ramai usahawan Bumiputera termasuk bagi menyokong artis tempatan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen.

Sementara itu peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera adalah dengan tekad membawa pengarahan dan kebijakan baharu kerana kita tidak lagi boleh terkurung dengan cara lama menguruskan agensi dengan tatakelola rendah atau menggunakan agensi bagi memperkaya kerabat sendiri sehingga lupa agenda utama iaitu mengangkat darjat dan martabat bumiputera.

Dalam pada itu Perdana Menteri buat pertama kalinya dalam sejarah, Kerajaan MADANI telah bersetuju supaya 50 ekar daripada pembangunan projek strategik Bandar Malaysia diperuntukkan sebagai Tanah Rizab Melayu.

"Ini hanya permulaan dalam mengenal pasti tanah-tanah kerajaan yang sesuai bagi memastikan aspek pembangunan turut tidak mengabaikan keseimbangan sosioekonomi jangka panjang di kawasan bandar," katanya.

Perdana Menteri berkata PNB dan PHB juga akan terus meningkatkan kerjasama dalam membangunkan Tanah Rizab Melayu dalam projek perumahan mampu milik, penginapan pelajar dan pembangunan komersial.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI