fb fb fb fb fb

Risiko pokok tumbang, Prasarana diarah buat kajian kawasan jajaran rel

Kajian secara terperinci perlu dilakukan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) membabitkan kawasan berisiko berlakunya insiden pokok tumbang di sepanjang laluan rel syarikat itu / Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 9 Mei - Kajian secara terperinci perlu dilakukan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) membabitkan kawasan berisiko berlakunya insiden pokok tumbang di sepanjang laluan rel syarikat itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Prasarana juga perlu mengadakan perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk mengenal pasti lokasi-lokasi terbabit.

“Kerja-kerja penyelenggaraan ini sebenarnya terletak di bawah bidang kuasa PBT dan terdapat juga kawasan-kawasan persendirian, jadi kita tidak boleh sesuka hati masuk ke kawasan tersebut.

“Namun, sebagai operator kita perlu lebih proaktif dan saya minta Prasarana supaya membuat satu siasatan yang lebih terperinci dengan melihat kawasan-kawasan yang berisiko ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Erat Kasih MADANI dan Perhimpunan Bulanan MOT, di sini.

Tambah Loke, perkhidmatan monorel dan LRT merupakan sistem pengangkutan yang lebih berisiko untuk terdedah kepada insiden yang tidak diingini seperti pokok tumbang dan sebagainya, berikutan landasannya yang berada di tengah pusat bandar.

Selasa lalu, seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel akibat hujan lebat serta angin kuat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN