Risiko keselamatan, MCMC gesa pengguna Apple kemas kini iOS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa pengguna iPhone supaya segera mengemas kini peranti iOS susulan kemas kini keselamatan penting yang dikeluarkan Apple.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemas kini iOS penting menampung kelemahan sistem, termasuk ancaman siber 'DarkSword'.
  • Kelemahan boleh dieksploit secara berantai, menyebabkan akses tanpa kebenaran dan menjejaskan keselamatan peranti.
  • Peranti tidak dikemas kini berisiko kehilangan mesej, fail dan data sensitif serta pemasangan perisian pengintip.
  • Amalan disarankan: kemas kini iOS terkini, elak laman mencurigakan, muat turun dari platform rasmi, pantau tingkah laku luar biasa.

Menurut MCMC, kemas kini itu bertujuan menangani beberapa kelemahan sistem termasuk ancaman serangan siber dikenali sebagai “DarkSword”.

“Risiko ini boleh dieksploit secara berantai hingga menjejaskan keselamatan peranti, termasuk membolehkan akses tanpa kebenaran,” menurut kenyataan itu.

Peranti yang tidak dikemas kini berisiko terdedah kepada kecurian maklumat peribadi seperti mesej, fail dan data sensitif, selain kemungkinan pemasangan perisian pengintip.

Sehubungan itu, pengguna disaran memastikan peranti dikemas kini ke versi iOS terkini bagi menjamin tahap keselamatan optimum.

MCMC turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan melayari laman sesawang mencurigakan serta hanya memuat turun aplikasi daripada platform rasmi Apple.

Selain itu, pengguna digalakkan mengamalkan keselamatan digital termasuk peka terhadap sebarang tingkah laku luar biasa pada peranti dan merujuk maklumat daripada sumber sahih.