KUALA LUMPUR, 17 Julai - Dana secukupnya perlu disediakan dalam mendepani ancaman kesihatan yang dijangka berlaku pada masa hadapan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata justeru perlaksanaan Dana Kesihatan Negara akan mempertimbang keperluan berkenaan.
Ini termasuk kebimbangan mengenai ancaman kesihatan Rintangan Antimicrobial (AMR).
"Mustahak untuk kesiapsiagaan kewangan bagi mana-mana negara perlu dibuat persiapan agar hal perlindungan kesihatan sejagat tidak meninggalkan sesiapa pun termasuk pandemik, jangan ada tertinggal atau tercicir terkena bahaya, justeru, mustahak kerajaan buat persiapan dengan dana pembiayaan kesihatan negara," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan wakil Pulai, Suhaizan Kaitan mengenai persediaan negara mendepani AMR di Dewan Rakyat, di sini.
AMR dijangka menjadi cabaran utama untuk sektor kesihatan global yang mengurangkan kesan ubat-ubatan seperti antibiotik untuk menangani infeksi.