Ringgit terus mengukuh didorong asas ekonomi domestik kukuh

Momentum pertumbuhan ini diperkukuh oleh prestasi suku keempat 2025, apabila ekonomi berkembang 6.3 peratus iaitu tertinggi dalam tempoh tiga tahun. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Februari – Nilai ringgit terus mencatatkan pengukuhan sebanyak 4.09 peratus kepada paras 3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat 24 Februari 2026, didorong asas ekonomi domestik kukuh serta keyakinan pelabur terhadap prospek negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ringgit mengukuh disokong asas ekonomi domestik yang kukuh dan keyakinan pelabur terhadap prospek negara.
  • Pertumbuhan KDNK 2025 melebihi jangkaan pada 5.2 peratus, dengan suku keempat mencatat 6.3 peratus.
  • Prestasi eksport positif, dipacu oleh produk elektrik dan elektronik yang meningkat ketara.
  • Kerajaan terus melaksanakan pembaharuan struktur dan mengekalkan kedudukan fiskal mampan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengukuhan mata wang tempatan itu mencerminkan perkembangan ekonomi yang sihat, termasuk prestasi pertumbuhan yang melebihi jangkaan.

Beliau berkata, dari segi perkembangan global, penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat dan peralihan jangkaan ke arah persekitaran kadar faedah yang lebih rendah dalam kalangan ekonomi utama global,menyokong pengukuhan nilai ringgit.

“Lebih penting, kenaikan nilai ringgit mencerminkan perkembangan domestik yang sihat dan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2025 dicatatkan sebanyak 5.2 peratus, lebih tinggi berbanding unjuran asal 4.0 peratus hingga 4.8 peratus.

“Momentum pertumbuhan ini diperkukuh oleh prestasi suku keempat 2025, apabila ekonomi berkembang 6.3 peratus iaitu tertinggi dalam tempoh tiga tahun. Pertumbuhan ini disokong oleh pengembangan merentasi sektor terutamanya perkhidmatan dan pembuatan dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama ekonomi,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan terhadap faktor serta dasar ekonomi yang menyumbang kepada pengiktirafan Ringgit Malaysia sebagai antara mata wang terkuat di Asia di Dewan Negara, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam keadaan semasa apabila nilai ringgit mengukuh, eksport kasar negara turut menunjukkan prestasi positif dengan pertumbuhan 6.5 peratus bagi tahun 2025.

Menurutnya, pertumbuhan itu terutamanya disokong oleh eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) yang meningkat 18.3 peratus kepada RM711.6 bilion, sekali gus menjadikan sektor berkenaan kekal sebagai penyumbang utama eksport negara .

Pengukuhan ringgit turut didorong oleh komitmen berterusan kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan struktur dan memastikan kedudukan fiskal yang mampan.

“Pengukuhan ini turut didorong oleh komitmen berterusan kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan memastikan kedudukan fiskal yang mampan serta menarik minat pelabur domestik dan antarabangsa. Perkembangan ini dijangka terus menyokong prestasi ringgit dalam jangka sederhana,” katanya.