Ringgit meningkat 3.9 peratus berbanding dolar AS pada suku keempat 2025

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Nilai ringgit meningkat sebanyak 3.9 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat pada suku keempat 2025, didorong oleh faktor luaran dan dalam negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ringgit naik 3.9% berbanding dolar AS pada suku keempat 2025 disebabkan faktor luaran dan domestik.
  • Pengurangan perbezaan kadar faedah selepas pemotongan FED dan pengurangan ketidakpastian tarif menyokong ringgit.
  • Asas ekonomi domestik kukuh dan usaha bersama kerajaan serta BNM terus memperkukuh pasaran kewangan.

Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi kenyataan memaklumkan, dari sudut luaran, perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil susulan keputusan Rizab Persekutuan (FED) AS menurunkan kadar faedah pada Oktober dan Disember telah membantu menyokong kedudukan ringgit.

”Selain itu, ketidakpastian yang berkurangan berkaitan tarif perdagangan selepas Amerika Syarikat memuktamadkan perjanjian dengan beberapa rakan dagang di rantau ini, termasuk Malaysia, turut meredakan tekanan terhadap pasaran mata wang.

”Di peringkat domestik, prospek ekonomi Malaysia yang kekal positif, disokong pelaksanaan pelbagai pembaharuan terus memperkukuh keyakinan pelabur dan menambah baik sentimen dalam pasaran kewangan tempatan,” jelas bank pusat.

Untuk sepanjang 2025, nilai ringgit bertambah sebanyak 10.2 peratus berbanding dolar, manakala kadar pertukaran efektif nominal (NEER) meningkat sebanyak 6.3 peratus.

Pada masa hadapan, pergerakan ringgit masih dipengaruhi faktor luaran, namun asas ekonomi domestik yang kukuh dijangka terus menyokong unit tempatan itu.

Selain itu, usaha terselaras kerajaan dan Bank Negara Malaysia akan terus memperkukuh aliran dua hala dalam pasaran kewangan domestik.