
IPOH, 24 Februari- Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 10 keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut dan pokok tumbang melanda kawasan Taman Damai, Simpang di Taiping lewat petang tadi.
- PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya dibuka 6.30 petang untuk menempatkan mangsa ribut di Taman Damai, Simpang, Taiping.
- Sebanyak 10 keluarga melibatkan 92 mangsa ditempatkan selepas rumah tidak dapat dibersihkan segera.
- Ribut menyebabkan pokok tumbang, bumbung tercabut, kerosakan premis, surau, masjid dan beberapa kenderaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) Mohd Nasrul Menhat berkata PPS di Dewan Serbaguna Taman Kaya itu dibuka 6.30 petang tadi.
“Terdapat lebih 10 keluarga yang tidak dapat memasuki kediaman masing-masing berikutan kerja pembersihan rumah tidak dapat dilaksanakan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang memaklumkan setakat 8.00 malam ini 92 mangsa daripada 10 keluarga terlibat dan ditempatkan di PPS tersebut.
Antara kawasan terjejas Taman Kaya, Kg Sentosa, Batu 2 ½, Kg Pak Darus, Taman Ria, Taman Damai, Taman Pengkalan Indah, Pengkalan Aur, PPR Simpang Perdana dan Jalan Simpang.
Ribut juga telah menyebabkan kerosakan termasuk rumah ditimpa pokok, bumbung rumah diterbangkan angin, bumbung premis perniagaan runtuh, kerosakan khemah bazar Ramadan, kaki lima Masjid Pengkalan Aur runtuh, kerosakan pagar Kubur Masjid Pengkalan Aur dan bumbung surau Taman Pengkalan Indah tercabut selain kerosakan beberapa kenderaan. -BERNAMA