fb fb fb fb fb

Riadah enam rakan bertukar tragedi, seorang lemas

FOTO JBPM PAHANG

KUANTAN, 29 September- Seorang remaja lelaki ditemukan lemas ketika beriadah bersama lima rakannya di Pasir Puteri, Sungai Lembing di sini pukul 12.12 tengah hari tadi.

Mayat mangsa, Muhammad Amirul Fahmi Saiful, 19, ditemui pada jarak 25 meter dari lokasi dilaporkan lemas.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota bersama jentera segera ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.30 pagi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), 10 anggota polis dan empat anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Lembing menggunakan teknik ‘surface searching’.

Mayat mangsa ditemukan pada kedalaman 15 kaki selepas pasukan penyelamat melakukan selaman di lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Dalam kejadian tersebut, seorang wanita turut mengalami kecederaan manakala empat rakannya - dua lelaki dan dua perempuan - dilaporkan selamat.

Mangsa yang cedera telah dihantar ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan.

SITI AISHAH MD ISA