fb fb fb fb fb

Rezeki empat beradik tunai haji pada usia muda, berkat tabungan ibu bapa

Muhammad Nazirul Haqimi Zulkeflee

KUALA NERUS, 20 Mei - Kesungguhan sepasang suami isteri, Zulkeflee Abd Rahman, 61, dan Noraidah Abd Rahman, 60, menabung ke dalam akaun Tabung Haji (TH) untuk empat anak mereka sejak kecil berhasil apabila dipilih menjadi Dhuyufurrahman secara serentak musim ini.

Anak sulung kepada pasang itu, Muhammad Nazirul Haqimi Zulkeflee, 32, dari Kampung Jati, Gong Badak, di sini berkata kesungguhan ibu dan bapanya menyimpan selama lebih 16 tahun itu semata-mata hanya untuk memastikan beliau dan tiga adik beradiknya dapat menunaikan ibadah haji pada usia muda.

"Mak menyimpan lebih kurang RM100 ke RM200 seorang, besyukurlah mak membuat simpanan itu bukan untuk seorang tapi untuk empat orang," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pelepasan Bakal Haji ke Tanah Suci Musim Haji 1445/2024 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pada Ahad.

Bagaimanapun, Muhammad Nazirul Haqimi berkata beliau agak terkilan kerana hajat ibu bapanya untuk melihat mereka empat beradik menunaikan ibadah haji bersama-sama tidak tercapai.

Menurutnya, adik perempuan bongsunya, Nur Afifah Nadhirah, 22, tidak dapat turut serta kerana sedang menduduki peperiksaan di Universiti.

Muhammad Nazirul Haqimi merupakan antara 142 jemaah dari Terengganu yang berlepas melalui Stesen Kuala Terengganu bagi sesi ke tujuh.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN