KUALA LUMPUR, 9 Mac- 26,154 unit kediaman bawah 43 projek Residensi Wilayah telah disiapkan sepenuhnya sehingga Februari lalu.
Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa berkata 23,441 unit melibatkan 27 projek lagi, masih dalam fasa pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2027.
"Ini adalah satu berita yang sangat baik dan memberikan kemudahan yang selesa kepada penduduk di Wilayah Persekutuan. Selain itu, satu perkara yang kita perkenal di Wilayah Persekutuan ini adalah pertanian bandar dan saya lihat sekitar residensi ini, keadaannya dipenuhi flora hijau."
"Potensi ini kita akan teruskan dan perkara ini sangat baik sekali," kata Zaliha kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci kepada 20 orang pemilik unit Residensi SkyAwani V, di sini.
Tambah Zaliha, baki selebihnya akan diserahkan selewat-lewatnya penghujung bulan ini.
SkyWorld di bawah Residensi Wilayah itu menyediakan 615 unit kediaman dengan harga tidak melebihi RM300,000 seunit dengan berkeluasan 800 kaki persegi.
Kediaman mampu milik pertama tersebut turut menyediakan kemudahan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) untuk penghuninya.